Tuesday, February 8, 2011

Revolusi Rakyat "ajar" Diktaktor Timur Tengah

Sudah tiba masanya aku menulis bahan yang lebih Ilmiah hasil dari sedikit pembacaan aku selama ini. Aku ingin berkongsi apa yang aku faham setakat ini. Aku akan 'try' buat para pembaca faham dan tidak bosan dengan isi-isi yang aku kumpul.

Kebangkitan rakyat Tunisia 14 Januari lalu tidak diramalkan oleh sesiapapun. Rakan sekutu, Perancis dan Amerika terkejut dan terkedu. Kemaraan "ledakan perubahan" ini meletus di Mesir. Hosni Mubarak juga tidak menghidu revolusi rakyat sedang mengganyang kerajaannya. Teori Domino sedang dibuktikan. Selepas Tunisia, beberapa negara sekitar digugat hebat. Yemen, Jordan, Saudi kini terancam dan Israel adalah negara yang paling 'gentar' dengan kebangkitan revolusi ini.

Secara dasar, Tunisia punyai 'probaliti' yang kecil untuk berlakunya revolusi. Ini disebabkan penduduknya hanya sekitar 10 juta orang, negaranya moden, dan taraf kehidupan pula dipelopori oleh golongan masyarakat kelas pertengahan yang boleh dikatakan agak selesa. Jika dibandingkan dengan negara Arab yang lain seperti Mesir, Jordan, Tunisia lebih maju. Oleh itu, kebangkitan rakyat pada 14 Januari lalu sangat mengejutkan sekutu kuat mereka AS dan Perancis sehinggakan menyebabkan Zine el-Abidine Ben Ali, pemerintah diktaktor Tunisia meninggalkan negaranya sendiri.

Hal ini berlaku kerana Zine el-Abidine Ben Ali masih mengamalkan cara pemerintahan 10 atau 20 tahun lalu sedangkan rakyat mereka yang mana 50% dari golongan bawah 25 tahun mendapat pendedahan yang meluas dengan adanya Internet. Pendek kata mereka sudah pandai, bijak bagi menyedari yang mereka ditindas hasil dari pemerintahan yang tidak demokratik serta penyelewangan yang berleluasa dalam badan pemerintah diktaktor ini. Keadaan buruk ditambah lagi dengan tekanan hidup, pengangguran, kenaikan harga barang dan kesengsaaan hidup dengan kata lain mereka tidak mempunyai harapan dan masa depan. "Revolusi Melati" yg berlaku di Tunisia adalah manifesti daripada kekecewaan ini sehinggakan Mohamad Bouzizi, seorang penjual buah sanggup membakar diri sebagai tanda protes(kekecewaan beliau). Inilah titik mula revolusi di Tunisia sehinggakan Ben Ali lari dari negara sendiri.

Penggerak revolusi ini secara jelasnya boleh dilihat pada rakyatnya sendiri dalam semua golongan umur yg turut serta dlm demonstrasi. Akan tetapi jika dilihat pada sejarahnya Tunisia digerakkan oleh perjuangan elemen-elemen yang menanamkan semangat jihad oleh gerakan-gerakan Islam (begitu juga dengan negara Islam yang lain)

Hal inilah yang membawa kepada pejuang pembebasan daripada penjajah yang berlaku di Tunisia. Tetapi apabila Tunisia merdeka pada 1956 negara tersebut diperintah oleh Habib Bourguiba- seorang yang berpendidikan perancis yang menjalankan pemerintahan secara pendekatan sekular. Merampas tanah waqaf, tidak menggalakkan rakyatnya puasa pada bulan Ramadhan atas alasan penurunan produktiviti kerja, menghilangkan peranan Universiti el-Zaitun, sebuah universiti yang lebih berusia daripada Al-Azhar yang juga melahirkan ramai cendiakawan-cendiakawan Islam unggul seperti Ibn Khaldun. Habib Bourguiba juga pengkagum Ataturk. Ini seperti ‘keluar kandang kambing masuk kandang harimau’ bagi rakyat Tunisia. Rakyat Tunisia yang tertipu pada awalnya dengan pemerintahan diktaktor yang berlatarkan demokratik kembali sedar setelah lebih separuh abad dengan kemuncaknya pada 14 Januari lalu.

Pendekatan sekular Habib Bouguiba dalam pemerintahan beliau mencontohi Mustafa Kemal Ataturk amat menjadi tetapi apa yang membezakan Turki dan Tunisia ialah senario sistem pemerintahnnya.Pemerintah Turki sememangnya terkenal sebagai modul pertama negara Islam sekular mendapat sokongan pihak junta tentera yang menjadi pelindung kepada pelaksanaan sekularisme berbeza dengan Tunisia yang mana pihak tentaranya lebih bersikap neutral. Kamal Ataturk juga berjaya merekrut Ismet Inounu dan ramai lagi individu untuk lebih sekularisme bagi meneruskan dinasti sekularisme di Turki. Berbeza dengan Tunisia yang hanya mempunyai 2 hingga 3 pemimpin sahaja dalam tempoh 1956 hingga 2011. Perbezaan-perbezaan ini membuktikan bagaimana sekularisme di Turki mampu bertahan hingga ke hari ini meskipun badan pemerintah mereka dikuasai Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP)- sebuah parti yang berorientasikan corak Islam sebenar tetapi masih perlu mengekalkan citra sekularisme Turki berdasar perlembagaan negara. Pemimpin AKP yg juga merupakan presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan masih lagi mencari jalan sesuai untuk menenggelamkan kekebalan sekularisme yang diwakili tentera dengan mengelakan sebarang perubahan drastik bagi menghalang campur tangan pihak tentera dalam urus tadbir kerajaan.

Penting kepada pembaca untuk memahami ideologi yang dibawa oleh pemimpin yang berwajah 2 ini, Mustafa Kemal Ataturk. Dunia Barat mengaguminya sebagai ’Bapa Pemodenan Turki’ yang terbilang manakala di dunia Islam beliau lebih dikenali sebagai ideologis sekular yang menghitamkan sejarah keagungan Islam Turki warisan legasi kerajaan Turki Uthmaniah.

Dasar terpenting Ideologi beliau ialah melakukan revolusi budaya. Apa yang dimaksudkan dengan revolusi budaya oleh Ataturk ialah menukar pegangan agama rakyat dari Islam kepada sekularisme atau Lacisme. Ataturk mahukan rakyat Turki menghayati sentuhan budaya barat dari segi ideologi dn gaya hidup. Itu secara asasnya yang perlu kita faham. Perlaksanaan beliau bagi menjayakan ideologi tersebut seperti melumpuhkan institusi waqaf, pemakaian songkok untuk kaum lelaki,haram bagi wanita memakai tudung, memperkenalkan tulisan roman bagi menggantikan tulisan jawi dan banyak lagi. Kesemua perlaksanaan bagi ideologi beliau diserap dalam perlembagaan Turki dan sekarang menjadi contoh kepada kebanyakan negara Arab.Implikasinya jelas terhadap agama Islam. Memperlihatkan penurunan status agama Ilahi yang serba komprehensif kini menjadi agama ritual yang terpinggi di sisi masyarakat dan sebarang gerakan yang cuba menegakan balik syariat Islam pasti dibanteras pemerintah.

Sekali lagi saya menegaskan bahawa penting untuk para pembaca memahami ideologi sekularisme Ataturk bagi meneruskan pemahaman pembaca bagi tulisan saya yang seterusnya. Tulisan yang lebih menjurus kepada pergolakan di Mesir dan bagaimana Teori Domino yang dicanang-canang ini membadai seluruh negara Arab. Insyaallah.



Habib Bourguiba


Zine el-Abidine Ben Ali


Recep Tayyip Erdogan


Mustafa Kemal Ataturk



No comments:

Post a Comment